Itu pandangan penganalisis bola sepak tempatan, Abdul Jalil Rambli dan Hasnizam Uzir, bagi saingan suku akhir Piala Malaysia musim ini selepas enam pasukan dilabel sebagai pilihan.

Berbanding musim lalu, cabaran suku akhir musim ini nyata menghadirkan persaingan lebih sengit kerana ia membabitkan saingan enam pasukan terbaik Liga Super ketika ini, iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT), Kedah, Pahang, Felda United, Selangor dan Perak.

Dua lagi pasukan yang berada dalam kelompok lapan terbaik adalah Melaka United serta satu-satunya wakil daripada Liga Perdana, PKNP FC.

Pada pengamatan Jalil, peluang untuk setiap pasukan mara kini masih terbuka luas.

"Dalam peringkat kalah mati, status pasukan Liga Super atau Liga Perdana tidak menjamin sebarang kejayaan. Setiap pasukan harus bersiap-sedia," ujarnya.

Dalam masa sama, Hasnizam mengakui pertemuan Selangor dan Kedah merupakan aksi paling mencuri tumpuan selepas kedua-dua pasukan itu bertemu dalam final musim lalu.

"Pertemuan Selangor dan Kedah pastinya epik selepas bertemu dalam aksi final edisi lalu. Saya mengharapkan pengendali kedua-dua pasukan bijak merencana segala perancangan untuk mencapai
kemenangan," tambahnya.