Shukor tuntut aksi terbaik sepanjang 90 minit

By Staff Writer 24 September 2017 133
Shukor tuntut aksi terbaik sepanjang 90 minit
Kapten dan tonggak pertahanan Felda United, Shukor Adan, tidak menganggap perubahan venue perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di antara Felda dan PKNP FC ke Stadium Shah Alam memberi kelebihan kepada The Fighters.

Bagi Shukor, walaupun kebanyakan pemain Felda sudah biasa beraksi di Shah Alam, ia tidak bererti mereka akan mudah mengatasi PKNP.

Kerana itu, Shukor berasakan pemain tetap perlu berwaspada dengan ancaman lawan di samping menyerlahkan aksi terbaik.

"Bermain di Shah Alam, tiada kelebihan sebenarnya. Dua perlawanan terdahulu di sana, kami agak berhempas pulas juga.

"Apa yang dinasihatkan jurulatih (B. Sathianathan), kami harus melupakan kemenangan dengan Kedah (3-1 dalam Liga Super).

"Bertemu PKNP ini adalah hidup mati kami, kalau kalah kepada pasukan itu, kami tidak dapat mencapai sasaran yang ditetapkan persatuan," katanya.

Dalam pada itu, Shukor mengakui ia penting buat Felda meraih jaringan awal menentang PKNP selepas tumpas 3-1 dalam aksi suku akhir pertama.

Namun, Shukor menyarankan agar rakan sepasukan tidak terlalu ghairah memburu jaringan yang akan hanya memberi tekanan buat mereka.

"Pemain harus bersabar, kalau kami terlalu terburu-buru menjaringkan gol awal, saya rasa -- memang penting gol awal -- bermain baik sepanjang 90 minit lagi penting sebab PKNP boleh menembusi gawang kami dengan tiga gol. 

"Saya harap pemain serangan kami bermain baik untuk menjaringkan gol," tambahnya.
 

About Author

Staff Writer

Comment