Pengendali Felda United, B. Sathianathan, akan merehatkan beberapa tonggak utama untuk aksi terakhir Kumpulan B, Piala Malaysia apabila turun menentang Perak di Ipoh, esok.

Perak dan Felda sudah mengesahkan laluan ke peringkat suku akhir Piala Malaysia, sekaligus membuatkan Sathianathan enggan mengambil risiko kecederaan dan juga penggantungan pemain.

Antara pemain yang akan direhatkan termasuk kapten dan tonggak pertahanan, Shukor Adan.

"Kami akan rehatkan Shukor kerana dia sudah memiliki dua kad kuning, jadi kami mahu mengelakkan sebarang perkara yang boleh menyebabkannya digantung.

"Saya yakin pemain-pemain yang menggantikan pemain utama akan mampu menunjukkan aksi yang diharapkan dan semestinya mereka harus mula membuktikan kepada saya bahawa mereka berhak untuk kekal bersama Felda tahun depan," kata Sathianathan.

Sementara itu, tonggak tengah Felda United, Zah Rahan Krangar, tetap mahu memastikan rekod tanpa kalah dalam Piala Malaysia berterusan ketika berdepan Perak.

Walaupun bakal turun tanpa kelibat beberpaa tonggak, pemain antarabangsa Liberia itu percaya Felda tetap mampu menjelmakan aksi terbaik.

"Ia sangat penting buat kami kerana bergelut dalam saingan liga, jadi kami menyasarkan untuk menjuarai Piala Malaysia pada tahun ini dan berada di tempat ketiga dalam liga."