Sathianathan cari ramuan istimewa berdepan Kedah

By Staff Writer 5 October 2017 443
Sathianathan cari ramuan istimewa berdepan Kedah
Jurulatih Felda United, B. Sathianathan, mengakui terpaksa mencari jalan alternatif bagi mengekalkan prestasi cemerlang pasukannya untuk menentang Kedah dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia di Jengka, 15 Oktober ini.

Skuad The Fighters berada di kemuncak prestasi selepas meraih kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir.

Paling mencuri tumpuan, kejayaan menumpaskan juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), 3-2 dalam perlawanan kedua terakhir liga di Stadium Shah Alam, Khamis lalu.

Namun, hasrat mereka untuk meneruskan momentum itu terencat susulan Liga Malaysia terpaksa dihentikan lebih dua minggu bagi memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa.

"Sebagai jurulatih, saya mesti mencari satu ramuan bagaimana untuk mengekalkan prestasi dan momentum mereka. 

"Saya harap tempo perlawanan adalah sama seperti aksi terakhir menentang JDT tempoh hari," katanya. 

Felda kini giat menjalani latihan untuk pertemuan getir menentang skuad Lang Merah.

Walaupun mereka menang 3-1 ke atas skuad itu dalam Liga Super di Alor Setar, 20 September lalu, Sathianathan menegaskan perlawanan separuh akhir Piala Malaysia adalah aksi berbeza buat anak buahnya.

"Tugas kami adalah untuk mengekalkan intensiti kerana kami akan beraksi dua minggu sebelum liga kembali bermula. Dalam separuh akhir, kami perlu berada di tahap kompetitif."

Satu lagi perlawanan separuh akhir Piala Malaysia di antara Perak dan JDT di Ipoh, juga berlangsung pada 15 Oktober ini.

About Author

Staff Writer

Comment