Skuad UiTM masih komited dalam pencarian mata pertama mereka dalam saingan Piala Malaysia 2017 dan misi itu akan diteruskan apabila melayan kunjungan Kelantan di Stadium UiTM, Shah Alam, esok.

Selepas tiga perlawanan diharungi setiap pasukan dalam saingan Piala Malaysia, UiTM masih gagal mengutip sebarang mata dan terperosok di kedudukan bawah Kumpulan C.

Situasi menjadi semakin sukar buat UiTM untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya, memandangkan persaingan kini lebih tertumpu kepada Kedah, Melaka dan Kelantan yang masing-masing sudah mengumpul enam mata.

Namun, ia bukan bermakna UiTM sudah menyerah kalah dan jurulatihnya,Wan Mustaffa Wan Ismail, mahu anak buahnya memberikan segala yang mereka ada untuk mengekang asakan pihak lawan.

"Kami mengetahui Kelantan merupakan pasukan pilihan untuk ke suku akhir tetapi mereka telah mengalami kekalahan teruk baru-baru ini dalam saingan Liga Super.

"Ia dilihat menggugat semangat mereka. Tetapi ia tidak bermakna kami mampu mengatasi mereka kerana Kelantan adalah sebuah pasukan yang berpengalaman," katanya.

Tumpuan utama perlawanan malam esok adalah untuk mengikat pasukan Kelantan kerana perlawanan terakhir skuad The Red Warriors dalam saingan Liga Super menyaksikan mereka tewas 5-0 kepada Kedah, kelmarin.

UiTM pula meraih kemenangan apabila menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 dalam saingan Liga Perdana, Selasa lalu.

"Kami tidak akan berputus asa dan cuba sebaik mungkin selama 90 minit, kami mahu membuktikan kebolehan kami," kata kapten UiTM, Syed Ariff Syed Mohd Uzir.