Piala Malaysia 2020 tampak hilang seri apabila wakil Borneo, Sabah, terpaksa menarik diri daripada menyertai kejohanan tertua di Asia Tenggara itu.

Ia susulan skuad Tambadau gagal mendapat pelepasan untuk keluar daripada Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 November.

Keputusan itu diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi satu kenyataan petang tadi selepas diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL Kali Ke-23 di Wisma FAM, semalam.

Penganjur Liga Malaysia (Liga-M) itu mengesahkan Piala Malaysia yang bermula minggu pertama bulan depan akan diteruskan tanpa penyertaan Sabah.

Skuad bimbingan Kurniawan Dwi Yulianto itu sepatutnya terbang ke Melaka hari ini untuk melengkapkan jadual terakhir Liga Super menentang UiTM FC, Sabtu ini.

Begitupun, permohonan pengecualian itu tidak diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"UiTM diberi kemenangan 3-0 dan tiga mata untuk perlawanan terakhir Liga Super dengan Sabah.

"Sabah diberi pengecualian dalam pembabitan Piala Malaysia 2020 dan mana-mana pasukan yang bertemu mereka akan diberikan kemenangan 'bye'.

"Kebiasaannya mana-mana pasukan yang menarik diri tanpa sebab akan dihukum tetapi MFL menganggap ini satu keputusan (terpaksa diambil) yang di luar kawalan kita disebabkan COVID-19.

"Tetapi Sabah akan kekal bersaing dalam Liga Super pada musim depan tiada denda dikenakan," jelas Ketua Pengerusi Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Abd Ghani Hassan, ketika ditemu bual di atas talian bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, hari ini.

Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) kali ke-23 telah berlangsung di ibu pejabat MFL Kelana...

Posted by Malaysian Football League on Wednesday, October 28, 2020


Sungguhpun hasrat untuk mengharungi Piala Malaysia tidak kesampaian, Sabah terpaksa akur dengan langkah terbaik sekatan perjalanan adalah jalan terbaik bagi memutuskan rantaian pandemik itu.

"Walaupun tidak dapat berlatih, motivasi pemain sangat berbeza, mereka amat teruja untuk mengikuti Piala Malysia.

"Faktanya kami tidak dapat, awalnya saya kecewa tetapi saya berasa langkah ini demi kebaikan keselamatan ramai," kata jurulatih Sabah, Kurniawan pula.