Impak peningkatan kes COVID-19 memaksa pengelola Liga Malaysia (Liga-M), Liga Bolasepak Malaysia (MFL), menunda aksi pembukaan Piala Malaysia kepada 25 dan 26 Oktober depan.

Langkah itu diambil berikutan perlawanan terakhir Liga Super melibatkan Sabah dan UiTM Sabtu ini terpaksa ditunda selepas Kota Kinabalu diisytihar sebagai zon merah apabila dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berakhir 20 Oktober depan.

"UiTM sepatutnya pergi ke Sabah (yang bertindak sebagai tuan rumah) tetapi kami tangguhkan atas peningkatan kes COVID-19 dan sekatan perjalanan di Sabah.

"Kami juga menangguhkan undian Piala Malaysia yang sepatutnya berlaku pada 12 Oktober (Isnin ini).

"Perlawanan Piala Malaysia yang sepatutnya bermula 16 dan 17 Oktober depan juga akan dibawa ke depan," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Abd Ghani, ketika ditemu ramah wakil Astro Arena, Syakirah Zulkifly, di Petaling Jaya hari ini.

Tarikh penganjuran saingan itu sudah mengalami perubahan sebanyak dua kali sebelum ini ekoran pandemik berkenaan.

Skuad Tambadau -- yang kini berada di pangkalan, Kota Kinabalu -- dua mata di depan zon penyingkiran yang menyaksikan Felda United masih berupaya memintas mereka sementara PDRM sah tergelincir ke Liga Perdana.

Justeru, ketua jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto, menaruh harapan perlawanan terakhir bertemu The Lion Troops itu di Stadium Likas dengan MFL masih belum memberikan kata putus.

Menurut Ghani, perlawanan Sabtu ini membabitkan pertemuan Perak menentang Kedah di Stadium Perak, Ipoh, selain Terengganu FC (TFC) menentang Pahang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, dianjakkan ke Ahad ini berdasarkan faktor perebutan tempat kedua Liga Super dan perlawanan menentukan kedudukan bagi undian Piala Malaysia.

"Kalau jujur dari hati, kami mahu bermain di tempat sendiri.

" Ia gelanggang keramat kami, kami tidak perlu ke semenanjung, lagipun ia perlawanan getir tetapi apa pun demi kebaikan, kesihatan dan keselamatan, kami menerima kata putus daripada MFL," katanya.