Jurulatih Felda United, B. Sathianathan, menyifatkan faktor pengalaman menjadi titik pemisah selepas pasukannya meraih kemenangan 4-1 (agregat 5-4) ke atas PKNP FC dalam suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, semalam.

Bagi Sathianathan, pujian harus diberikan kepada pemain-pemainnya yang menyerlahkan semangat juang yang tinggi.

Katanya, bukan mudah untuk bangkit daripada kekalahan 1-3 dalam aksi suku akhir pertama, sebaliknya pemain skuad The Fighters membuktikan mereka mahu melangkah jauh pada musim ini.

"Ketinggalan satu gol pada minit ketujuh, ia nampak sukar (untuk mengejar) tetapi semangat pemain begitu baik. Sedikit pertukaran taktikal, kami memperoleh empat gol.

"Pengalaman ada dalam pasukan kami. Hantaran lintang daripada Shukor (Adan) sungguh hebat, di mana pemain lain tidak dapat melakukannya. Banyak peluang untuk melakukan hantaran lintang tetapi bola tidak naik.

"Tetapi pemain berpengalaman seperti Shukor dapat melakukannya dan ia menyebabkan Wan Zack (Haikal) boleh menjaringkan gol," kata Sathianathan yang memuji pemain berusia 38 tahun itu.

Dalam pada itu, pengendali PKNP, Abu Bakar Fadzim, mengakui kekurangan pengalaman pasukannya sebagai faktor utama kekalahan di tangan Felda.

Dua gol pertama Felda turut menjejaskan mental pemain walaupun mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.

"Ini yang ditakuti. Apabila kami berasa selesa, kami terlalu berasa yakin. Kemudian, kami terlepas untuk pergi ke separuh akhir.

"Bagi saya, ini adalah satu pengajaran dan pengalaman yang harus diambil oleh pemain muda PKNP," katanya.