FELDA UNITED 1 PERAK 1

Felda United bangkit daripada ketinggalan untuk berkongsi mata dengan Perak dalam saingan Piala Malaysia di di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, sebentar tadi.


Perak setakat ini sudah pun merekod dua kemenangan dalam dua aksi Piala Malaysia untuk mengetuai Kumpulan B manakala Felda telah mengumpul empat mata selepas melakar satu seri dan satu kemenangan.

Untuk pertemuan ini, Felda meletakkan harapan yang tinggi kepada penyerang utama mereka, Thiago Augusto Fernandes, yang telah meledak enam gol dalam dua aksi Liga Super.

Senario itu menjadikan pemain berusia 27 tahun itu sasaran utama benteng Perak untuk mengekang setiap pergerakan serangan Felda sepanjang babak pertama.

Bersambung selepas rehat, kedua-dua pasukan mula menemui ramuan dan saling membalas serangan.

Kesilapan daripada pemain Perak ketika melakukan hantaran berjaya dibaca oleh Fernandes, namun gagal menyempurnakan peluangnya.

Perak turut menguji pertahanan Felda yang diketuai oleh Shukor Adan selepas Gilmar da Silva berjaya mencari ruang untuk melepaskan rembatan dari luar kotak penalti, namun sekadar melepasi tiang gol.

Jaringan muncul juga pada minit ke-65 selepas Shahrul Saad melakukan tandukan bagi meletakkan Perak di hadapan.

Selang seminit kemudian, pemain import pasukan tuan rumah, Zah Rahan Krangar, tangkas merampas bola daripada pertahanan The Bos Gaurus, Shahrom Kalam, untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Kedua-dua pasukan terus mencari gol kemenangan sehingga penghujung perlawanan, namun tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan.

Keputusan lain:

PKNP 2 NEGERI SEMBILAN 0

SARAWAK 0 TERENGGANU 0

KELANTAN 3 KEDAH 1

MELAKA UNITED 2 UiTM 1

T-TEAM 1 PAHANG 1

PKNS 0 KUALA LUMPUR 0

SELANGOR 3 JDT 2

Kredit Imej: FB Felda United FC