Penyerang Selangor, Khyril Muhymeen Zambri, mengakui dirinya seperti 'mati hidup semula' selepas meledak dua gol dalam aksi suku akhir kedua menentang Perak yang sekali gus menyelamatkan pasukannya daripada rahang maut kempen Piala Malaysia.

Sebelum ini, bekas penyerang kebangsaan itu melalui detik hitam dalam kariernya yang hampir terkubur bermula 2009 ekoran kecederaan berpanjangan.

Selain hilang kepercayaan terhadap kecergasannya, pemain berusia 32 tahun itu turut kehilangan mata pencarian pada awal musim ini apabila terpedaya dengan pujukan pasukan Perlis.

Akhirnya, nafas baru Khyril Muhymeen mendapat perhatian selepas membantu Selangor mengesahkan tiket ke separuh akhir Piala Malaysia, musim ini.

Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, melabelkan anak buahnya itu seperti Cristiano Ronaldo yang mampu memberikan sesuatu kepada pasukan sehingga berani mengambil risiko memberi peluang kepadanya.

"Sathianathan adalah individu di belakang tabir sepanjang saya berada di Selangor. Sewaktu saya datang ke sini, saya masih mencari rentak dan dibelenggu kecederaan. Dia hanya mahu saya berikan komitmen 100 peratus dan apabila diperlukan, khidmat saya akan ditagih," katanya.

"Saya tahu perwatakannya. Dia ada kelajuan. Saya selalu katakan bahawa dia macam Ronaldo. Dia boleh atasi lawan dengan mudah dan dia kuat. Saya juga tahu dia cedera. Saya memberitahunya, apabila dia menyertai Selangor, dia tidak akan digunakan selagi dibelenggu kecederaan," ujar Sathianathan.

Kredit foto: FA Selangor