Ketua jurulatih Felda United, B. Sathianathan, tidak memilih lawan sama ada PKNP atau kemungkinan naib juara Piala FA, Pahang, dalam suku akhir Piala Malaysia kerana beliau sentiasa bersedia berdepan sesiapa sahaja jika mengimpikan trofi keagungan negara itu.

Felda, yang telah mengesahkan kemaraan ke suku akhir, kini berpeluang menentukan lawan mereka dalam pusingan seterusnya.

Menduduki tangga kedua Kumpulan B, Felda akan bertemu Perak dalam aksi terakhir pada 9 September, dengan kemenangan bakal mengangkat mereka selaku juara kumpulan.

Dengan Pahang atau PKNP bakal menjadi lawan Felda dalam suku akhir nanti, Sathianathan menyifatkan pemain-pemain bersedia mendepani mana-mana pasukan dalam usaha ke final Piala Malaysia.

"Untuk mara ke final, kami tidak boleh mengira siapa lawan kami. Untuk menjadi juara, kami tidak boleh terlalu memikirkan lawan kami, sebaliknya mengutamakan prestasi kami," katanya.

Sathianathan, bagaimanapun, sedikit resah memikirkan aksi di Ipoh apabila ramai pemainnya berdepan masalah kesihatan serta kecederaan.

Buat masa ini, Ifedayo Omosuyi sudah pasti tidak akan diturunkan kerana masalah kecederaan pada bahagian pinggang.

"Terdapat beberapa pemain utama tidak dapat diturunkan ekoran kecederaan serta masalah kesihatan. Saya berharap pemain yang diturunkan dapat memberikan yang terbaik."