Felda tidak pandang mudah cabaran PKNP

By Staff Writer 13 September 2017 219
Felda tidak pandang mudah cabaran PKNP
Jurulatih Felda United, B. Sathianathan, mengakui lebih menekankan kekuatan mental pemain untuk berdepan PKNP FC dalam saingan suku akhir Piala Malaysia 2017, Jumaat ini, sambil menganggap lawan daripada Liga Perdana itu jauh lebih rumit berbanding bertemu pasukan-pasukan gergasi tanah air.

Di atas kertas, skuad Felda tampak berdepan laluan mudah untuk melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia walaupun layak ke kelompok lapan terbaik menerusi tiket naib juara Kumpulan B.

Bagaimanapun, Sathianthan enggan mengambil mudah cabaran PKNP, yang disifatkannya mampu melakukan kejutan jika pemain leka dalam pertemuan di Jengka itu nanti.

"Kalau kami menghadapi pasukan yang kuat, bagi saya perlu pemain sudah memiliki keazaman sendiri seperti jika bertemu Selangor, Johor Darul Ta'zim dan Perak.

"Kami pernah menentang PKNP dalam aksi persahabatan dan tewas 0-5, jadi perkara itu harus dipandang serius dan tiada seorang pemain dari skuad kami boleh menganggap Felda United sudah berada dalamseparuh akhir," tegasnya.

Pengendali berusia 59 tahun itu turut dilanda resah apabila dua tonggak utamanya, Thiago Augusto Fernandes dan Ifedayo Omosuyi, belum cergas sepenuhnya sementara Wan Zack Haikal Wan Noor mengalami masalah kesihatan.

"Ifedayo masih lagi cedera, Thiago sebelum ini demam dan begitu juga dengan Wan Zack. Perkara ini yang membuatkan saya sedikit khuatir," tambahnya.

About Author

Staff Writer

Comment