FAM yakin MFL ambil kira langkah terbaik penganjuran Piala Malaysia 2020

By Shaiful Shamsudin 27 October 2020 88
 FAM yakin MFL ambil kira langkah terbaik penganjuran Piala Malaysia 2020
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, menyokong setiap keputusan yang dibuat Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung penganjuran Piala Malaysia musim ini.

Sebarang keputusan sudah pasti ia adalah pilihan paling tepat merujuk kepada keperluan memenuhi tuntutan kewangan dan juga komersial memandangkan perjanjian itu dimeterai pada awal musim.

Badan induk itu tidak memiliki sebarang kuasa untuk membuat penetapan sama ada saingan Piala Malaysia mampu diteruskan atau sebaliknya.

Namun, FAM bertegas akan memberi sokongan terhadap sebarang langkah yang diketengahkan MFL selaku penganjur Liga Malaysia (Liga-M).

Stuart bersetuju sekiranya tuntutan kewangan dan komersial yang dipertimbangkan menjurus kepada keutamaan yang perlu dipenuhi atau MFL terpaksa menanggung kerugian yang lebih besar musim ini.

"Hal ini bukan sahaja berkaitan isu bola sepak dan keselamatan sahaja, tetapi isu kewangan dan komersial juga perlu dipertimbangkan secara menyeluruh. 

"Saya tidak mahu meletakkan sesuatu perkara itu lebih penting daripada yang lain. 

"Tetapi MFL akan membuat keputusan selepas menterjemahkan semua (perkara).

"Saya tidak tahu kandungan kontrak di antara penaja dan MFL tetapi MFL pastinya akan membuat pertimbangan terhadap semua aspek. 

"Bukannya MFL tidak mendengar rayuan daripada pasukan-pasukan (yang menyarankan supaya Piala Malaysia musim ini dibatalkan) kerana ada juga yang mahu menganjurkannnya," katanya kepada wartawan Astro Arena, Norsyarafina Nasrom, di Petaling Jaya hari ini.

Keputusan itu dibuat menerusi penelitian penuh daripada pihak kerajaan menerusi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Ia jaminan yang telah diberikan MFL dan FAM.

"Saya pun gembira ia akan diteruskan disebabkan ada baiknya perlawanan diteruskan tetapi saya tahu MFL akan mengkaji format dan jadual agar mendapat situasi menang-menang."

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment