"Saya mahu kemenangan dalam perlawanan akhir kumpulan menentang Felda United. Saya juga tidak memikirkan siapa lawan daripada Kumpulan A di peringkat suku akhir nanti."

Itu reaksi pengendali Perak, Mehmet Durakovic, menjelang pertembungan terakhir kumpulan menentang Felda United di Ipoh, esok.

Pertembungan Perak dan Felda United akan menentukan siapa juara Kumpulan B memandangkan masing-masing telah berjaya mengesahkan tempat dalam suku akhir.

"Pada saya, mana-mana pasukan yang layak ke peringkat suku akhir mempunyai kekuatan seimbang. Oleh itu, penting untuk menang dengan Felda kerana apa yang pasukan saya perlu ialah meneruskan momentum kemenangan kerana ia dapat meningkatkan moral pemain," tambahnya.

Durakovic mengakui perlawanan Sabtu ini setelah berehat panjang agak getir kerana terpaksa menggilap kembali keserasian pemain.

"Secara ikhlas, saya lebih suka tiada rehat kerana Perak ketika itu dalam prestasi terbaik. Kini saya dan pemain perlu mencari rentak kembali. Pada saya, rehat ini ada kelebihan dan kekurangan," kata Durakovic.

Namun, rata-ratanya peminat bolasepak Perak tidak berhasrat melihat pertembungan awal pasukan satu negeri, iaitu Perak dan PKNP FC, di peringkat suku akhir nanti.

PKNP sudah menjuarai Kumpulan A walaupun berbaki satu perlawanan menentang Negeri Sembilan.