"Saya tahu kelebihan Nwakaeme."

Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, menganggap kesetiaannya terhadap Dickson Nwakaeme sebagai keputusan tepat setelah penyerangnya itu cemerlang mengetuai kemaraan skuad Tok Gajah itu ke pentas separuh akhir Piala Malaysia.

Ada segelintir penyokong Pahang menganggap Nwakaeme yang digelar 'orang besi' sudah tidak relevan kerana faktor usia selain sering mengalami kecederaan.

Dilihat tidak sama berbanding penampilannya bersama Pahang pada musim 2014, dia bagaimanapun mula membuktikan telahan itu salah sama sekali.

Sebaliknya, bekas penyerang Angers SCO dalam Ligue 1 Perancis itu menunjukkan sentuhannya masih berbisa dengan prestasi terbaik selepas meledak dua gol bagi membantu kemenangan 3-1 ke atas Melaka, semalam.

"Ada penyokong menjerit ke arah saya, suruh tukarkan Nwakaeme sehingga memaksa saya bangun. Kami tahu kelebihannya. Pada satu ketika, dia akan lakukan keajaiban buat pasukan, sebab itu saya yakin dia adalah tonggak Pahang," ujar Dollah.

Pahang menewaskan Melaka dengan agregat 6-1 dan akan membuat perhitungan dengan juara Piala FA, Kedah, di peringkat separuh akhir.

Mengakui pasukannya bakal merintis ujian getir berdepan skuad Lang Merah itu, Dollah tetap mahu anak buahnya melunaskan misi meraih piala berprestij itu musim ini.

"Kedua-dua pasukan ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Apa sekali pun, kami cuba yang terbaik. Kedah sudah ada piala, begitu juga dengan Johor Darul Ta'zim (JDT), cuma tinggal Pahang dan Selangor. Jadi, diharapkan Pahang boleh meraih kejuaraan Piala Malaysia tahun ini."

Sementara itu, pengendali Melaka, Zainal Abidin Hassan, tidak menafikan faktor luaran yang membelenggu pasukannya menjadi punca kegagalan mara lebih jauh dalam kempen kali ini.

"Saya tahu sepatutnya boleh mara lebih jauh, mereka telah berusaha sejak saingan liga dan Piala Malaysia. Walaupun di atas kertas ada kemajuan, saya percaya pasukan ini boleh mara lebih jauh.

"Namun, inilah bola sepak. Kami harus menguasai segala-galanya di luar dan di dalam padang untuk membentuk pasukan dan mencapai kejayaan," katanya.

Melaka dibelenggu masalah tunggakan gaji sehingga menyebabkan kapten, Shukor Adan, enggan beraksi dalam suku akhir pertama di laman sendiri, tempoh hari.

Bagaimanapun, tonggak berpengalaman itu kembali memperkuatkan skuad Hang Tuah itu untuk aksi timbal balik di tempat lawan, semalam.