Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah bersedia untuk menganjurkan sebarang aktiviti sukan permotoran dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Dalam lawatannya di Sepang hari ini , beliau berkata SIC melakukan persiapan cukup teliti dan terperinci mengikut tatacara pematuhan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), antara termasuk senarai dilarang adalah penganjuran sukan kerana ia membabitkan perhimpunan berskala besar. Semua sukan tanpa kontak seperti permotoran, sukan yang boleh diberi pertimbangan namun pihak KKM dan MKN perlu diyakinkan.

“Secara peribadi, saya optimis penganjuran sukan permotoran yang sememangnya diadakan secara berprestij di SIC akan kembali selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri,” katanya selepas sesi lawatan itu.

Kelmarin, KBS mengesahkan membawa cadangan memberi kelonggaran bagi semua pasukan mengadakan latihan secara kontak penuh dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 9 Julai ini.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata fokus utama kini adalah tertumpu kepada penganjuran sukan permotoran di peringkat domestik sebelum memuktamadkan mengenai status penganjuran antarabangsa termasuk perlumbaan MotoGP.

“Kami lakukannya secara berperingkat, pada waktu ini saya hendak minta dulu penganjuran di peringkat domestik. Soal kawalan sempadan bukan di bawah saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, berkata pihaknya bersama Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) mengambil masa lebih sebulan untuk menyiapkan SOP berkenaan.

Beliau berharap penganjuran sukan permotoran di SIC dapat dimulakan semula secepat mungkin.

“Hasil lawatan hari ini kami terima maklum balas yang positif dari menteri. SOP kami sangat teliti jadi harapan saya supaya sukan permotoran terutama bahagian kejohanan dapat dilakukan secepat mungkin,” katanya.

-- BERNAMA