Tawaran musim 2018 ganggu fokus pemain Felda 

By Staff Writer 13 October 2017 4413
  Tawaran musim 2018 ganggu fokus pemain Felda 
Jurulatih Felda United, B. Sathianathan, memberi amaran kepada pasukan Liga Super yang mengganggu fokus pemainnya menerusi tawaran kontrak musim hadapan ketika pasukannya kini masih bersaing dalam separuh akhir Piala Malaysia. 

Felda United menjalani persiapan untuk berdepan penyandang juara, Kedah, namun ada pasukan yang dilabel Sathianathan gagal menghormati keutamaan anak buahnya ketika ini. 

Dua pemain import Felda United, Zah Rahan Krangar dan Thiago Agusto Fernandez, selain beberapa pemain tempatan sudah mula menerima lamaran pasukan lain sehingga mengganggu fokus pemainnya. 

Lebih menambah rasa berangnya, antara pasukan yang mendekati anak buahnya ketika ini adalah Kedah yang bakal dihadapi Ahad ini. 

"Pasukan lain mesti ada disiplin. Tolong jangan kacau pemain saya yang akan beraksi dalam separuh akhir Piala Malaysia. 

"Hanya empat pasukan yang berentap di peringkat ini, jadi pasukan lain berilah tumpuan untuk perlawanan terakhir liga nanti," katanya. 

Dalam masa sama, ketiadaan Liridon Krasniqi yang digantung perlawanan bukan berita gembira buat Sathianathan. 

Malah, bekas jurulatih kebangsaan itu lebih mengkaji corak permainan Liridon dan dengan perubahan yang bakal berlaku, segala-galanya tampak misteri bagi The Fighters ketika ini. 

"Itulah masalahnya. 

"Kalau Liridon bermain, kami pasti tahu apa yang perlu dilakukan untuk menyekatnya. 

"Tetapi, kini saya tidak tahu apa yang Kedah akan buat dan siapa yang akan menggantikan tempatnya."

About Author

Staff Writer

Comment