Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan, mampu menarik nafas lega buat seketika selepas anak buahnya menang tipis 1-0 ke atas Perak di laman lawan, malam tadi.

Kejayaan itu menyaksikan Zainal dapat meneruskan lagi talian hayatnya bersama skuad Kancil itu.

Sepanjang minggu lalu, khabar angin mengenai kedudukannya bertiup kencang di luar padang namun ia sama sekali tidak menyekat Melaka turun ke Ipoh dengan misi serampang dua mata.

Mereka berhasil mengutip mata penuh untuk keluar dari zon penyingkiran selain mengembalikan semula kepercayaan penyokong.

"Memang lega tapi masih banyak kerja yang perlu diteruskan.

"Contohnya perlawanan malam tadi, padahal banyak perlawanan yang kami dapat beraksi dengan lebih baik lagi.

"Tapi bagi saya, pemain memberikan segala-galanya dan sungguh disiplin.

"Pemain dapat mempertahankan keputusan 1-0 dengan baik hingga wisel, Alhamdulillah satu kemenangan yang melegakan," katanya.


Melaka United FC meraih kemenangan yang ke-4 dalam saingan Liga Super Malaysia 2021 selepas menang tipis 1-0 dalam aksi...

Posted by Melaka United Football Club on Sunday, April 25, 2021

Biarpun terpaksa menanti sehingga sejam perlawanan untuk jaringan pertama menjelma, gol daripada Wan Zaharulnizam Wan Zakaria itu sudah cukup untuk Melaka mendaki ke kedudukan kelapan dengan 10 mata.

The Bos Gaurus terpaksa menelan perit kerana hanya dipisahkan empat mata sahaja dengan Sri Pahang di zon penyingkiran.