Kombinasi tiga pemain berpengalaman akan menjadikan Kuala Lumpur United FC sebagai pencabar dalam saingan Liga Super 2021, kata pemain tengah pasukan itu, Indra Putra Mahayuddin.

Indra Putra, 39, akan bergandingan dengan dua lagi pemain veteran, iaitu Shukor Adan, 41, dan Safee Sale, 36, bagi mengibarkan cabaran skuad The City Boys itu dalam musim baru ini.

Sambil mengakui tidak banyak pasukan berani mempertaruhkan pemain berusia seperti mereka, bekas penyerang kebangsaan itu percaya kombinasinya dengan dua rakan sepasukan barunya itu mampu membantu barisan pemain muda memacu kejayaan buat KL United.

"Dengan kehadiran Safee Sali, ia menunjukkan bahawa pemain yang berumur menjadi pilihan KL dan Insya-Allah, dengan kombinasi tiga pemain ini, KL dapat memberikan saingan yang hebat buat pasukan lain dalam Liga Super," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly.

"Dengan kombinasi tiga pemain ini juga, ia dapat membantu pemain muda untuk menimba ilmu bersama kami."

Indra Putra, yang mencipta sejarah dengan meraikan jaringannya yang ke-100 dalam saingan Liga Super musim lalu, berasakan kehadiran bekas pemain sayap Kedah dan Felda United, Hadin Azman, ke dalam pasukan itu merupakan satu keputusan yang tepat.

"Kehadiran Hadin Azman merupakan satu keputusan yang tepat buat KL kerana kami memerlukan pengalaman dan cara permainannya untuk menjadikan jentera serangan pasukan KL lebih mantap," tambahnya.