Jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel, mengesahkan anak buahnya, Safuan Baharudin tidak mengalami kecederaan serius dan hanya perlu berehat sehari sahaja sebelum menyertai sesi latihan semula.

Tahap kecergasan pemain pertahanan itu akan dipantau oleh Neitzel sama ada mampu dia bersedia sepenuhnya atau tidak dalam aksi menentang Sri Pahang FC Rabu ini.

Kecederaan dihadapi ketika beraksi dalam saingan menentang PJ City semalam apabila usaha menyudahkan sepakan percuma pada minit ke-30, tandukan Safuan berakhir dengan insiden kepalanya terhantuk dengan pemain lawan.

Pemain berusia 30 tahun itu terus diusung keluar dan segera dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

"Dia telah menjalani penilaian semalam terhadap kecederaan yang dialami dan tiada apa yang serius. Saya tidak pasti dia akan beraksi dalam perlawanan berikutnya," kata ketua jurulatih Selangor, Karsten Neitzel.

"Dia hanya perlu berehat sehari dan berharap dia akan kembali bersama pasukan namun kami tidak mahu mengambil risiko, setakat ini dia telah bermain dengan cemerlang untuk pasukan dan kami telah merencana perancangan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan."

Selangor berjaya meraih tiga mata sekaligus menggagalkan hasrat PJ City memintas kedudukan The Red Giant di kedudukan kelima liga.

Ifedayo Olusegun menjadi wira Selangor apabila mencetus kebangkitan di ambang kekalahan selepas berjaya meledak dua gol pada minit akhir perlawanan.

Sebelum itu, Neitzel mengubah corak permainan dalam separuh masa kedua, dia berpuas hati dan sekali lagi memuji pemain gantian yang dipertaruhkan seperti Shahrel Fikri Md Fauzi berjaya membantu Ifedayo menjaringkan gol kemenangan.