Safee seperti berusia 17 tahun untuk wakili Kuala Lumpur musim 2021

By Muzaffar Musa 24 December 2020 2604
Safee seperti berusia 17 tahun untuk wakili Kuala Lumpur musim 2021
Penyerang veteran, Safee Sali, sah menyertai Kuala Lumpur dengan membawa misi peribadi mengembalikan kegemilangan skuad Warga Kota itu seperti satu ketika dulu.

Jelas Safee, 36, usia bukan penghalang untuk dia menaburkan bakti dan pengalamannya buat pasukan itu sambil berkata dia berasa lebih muda untuk memulakan saingan Liga Super musim 2021.

Dalam majlis memperkenalkan pemain di Pejabat Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) hari ini, dia berkata: "Saya sentiasa positif. Selagi saya belum mengumumkan persaraan, selagi itulah saya mahu menaburkan bakti dan pengalaman saya kepada pasukan yang saya wakili.

"Apabila berada bersama pasukan yang saya pernah wakili satu ketika dulu, memang saya cukup teruja dan walaupun saya akan berusia 37 tahun pada tahun depan, saya berasakan seperti saya masih berusia 17 tahun."

Safee akan bergandingan dengan dua lagi pemain veteran dalam skuad Kuala Lumpur, iaitu Indra Putra Mahyuddin dan Shukor Adan.

Mengulas mengenai keadaan itu, dia menambah: "Saya memang mempunyai pengalaman bermain dengan Indra dan Shukor Adan. Mereka mempunyai segala-galanya dalam permainan bola sepak.

"Jadi, saya rasa pasukan Kuala Lumpur bagi musim depan mempunyai kombinasi yang baik daripada segi pemain senior dan remaja untuk mencabar pasukan besar dalam Liga Super.

"Saya sentiasa bersedia dan positif dengan apa yang ada dalam pasukan ini, jadi saya bersedia untuk memulakan secepat mungkin dengan Kuala Lumpur," katanya.

Sebagai rekod, Safee pernah menyarung jersi Kuala Lumpur dari 2003 hingga 2005.
 
Seorang lagi pemain yang akan memperkuatkan The City Boys bagi saingan Liga Super musim 2021 adalah bekas penyerang Kedah dan Felda United, Hadin Azman.

"Banyak perkara baru yang semua orang dapat tengok. Bagi saya, ia satu peluang dan saya mahu menjadi sebahagian daripada pasukan ini," kata Hadin pula.

"Dengan visi dan KPI (indeks prestasi utama) mereka, saya berharap dapat bermula dengan secepat mungkin.

"Sasaran utama saya adalah untuk pasukan ini kekal dalam Liga Super. Saya akan mencuba yang terbaik untuk mendapatkan sentuhan terbaik saya dan berharap Kuala Lumpur dapat pergi sejauh mungkin," katanya.
 

About Author

Muzaffar Musa

Comment