Isu pemotongan enam mata yang dikenakan ke atas dua pasukan Liga Super, Kelantan dan T-Team. terus mendapat reaksi, terutama daripada pasukan terlibat.

Sejurus menerima hukuman itu, T-Team mengesahkan telah menghantar surat rayuan kepada badan pentadbir Liga Malaysia, Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), semalam.

Situasi itu ternyata memberi kesan kepada pasukan bergelar The Titans itu dan turut diakui pengendalinya, Rahmad Darmawan, yang tidak menjangkakan mereka dikenakan hukuman seberat itu.

Isu tunggakan gaji tidak pernah timbul walaupun sehari, tegasnya, namun akur kegagalan melengkapkan pendaftaran Liga M memberi kesan besar kepada mereka.

“Bukan mudah untuk kami mendapatkan enam mata dengan pemain-pemain memberikan persembahan yang baik untuk mencatat kemenangan.

“Tidak dinafikan moral pemain agak merudum dengan keadaan ini memandangkan prestasi mereka kini di tahap terbaik,” ujar ketua jurulatih berasal dari Indonesia itu.

Fokusnya kini lebih terarah untuk menaikkan kembali semangat pasukan itu menjelang pertemuan bertemu Perak di Kuala Terengganu, Sabtu ini.

Ketua pasukan T-Team, Mohd Hasbullah Awang, pula bertekad mahu memastikan rakan sepasukannya tidak membiarkan isu di luar padang menggugat semangat mereka memburu tiga mata.

“Kami harus fokus untuk perlawanan akan datang dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.