Belum pernah lagi sepanjang kerjaya Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim terpaksa menyaksikan pasukan mengharungi 13 perlawanan Liga Super tanpa dia terdaya berbuat apa-apa.

Sejak meninggalkan Sri Pahang, pemain lincah -- yang akan berumur 24 tahun 30 Mac ini -- masih belum berpeluang membuat penampilan bersama Selangor pada musim ini gara-gara kecederaan buku lali kiri.

"Saya pun tidak sangka situasi ini berlaku, sudah tentu saya tidak sabar untuk beraksi.

"Tengok rakan sepasukan berjuang di atas padang membuatkan saya gian tapi nak buat macam mana takdirnya begini, saya perlu bersabar sahajalah.

"Memang rasa terkilan kerana banyak perlawanan yang mampu kami menangi tapi kami tidak dapat meraih mata penuh.

"Saya hanya mampu berdoa tapi memang berharap sangat untuk beraksi," katanya ketika diwawancara wakil Astro Arena, Shahrazad Sani, hari ini.







Tatkala kedudukan pasukan masih terumbang-ambing, Nik Sharif Haseefy bahkan tidak berkesempatan memanaskan bangku simpanan gara-gara ditimpa kecederaan.

Dia bergelut dengan kecederaan yang menimpanya dalam perlawanan ketiga Piala Presiden.

"Saya tidak pernah berehat panjang.

"Saya pernah menderita kecederaan ini tapi kali ini paling teruk.

"Ini satu pengalaman baru untuk saya menguatkan mental.

"Alhamdulillah sudah pulih 100 peratus dan sudah kembali berlatih."