Nafuzi tagih khidmat Da Silva

By Ammar Hakim 9 April 2021 1206
Nafuzi tagih khidmat Da Silva
Jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain, menagih sentuhan David Da Silva, untuk membantu skuad Peteh mengakhiri kemarau kemenangan apabila pasukannya berkunjung ke tempat lawan bertemu Kedah Darul Aman FC, malam ini.

Nafuzi dalam perkongsiannya bersama Zulhelmi Zainal Azam, bersikap positif terhadap kemampuan Da Silva walaupun penyerang dari Brazil itu sudah lama tidak beraksi ekoran kecederaan.

Da Silva yang juga penggempur baru Terengganu musim ini terlepas enam perlawanan kerana ditimpa kecederaan pada aksi pertama bertemu UiTM FC di tempat lawan Mac lalu.

Ketiadaan bekas penyerang Persebaya Surabaya itu menyaksikan penyerang, Jordan Mintah, diserap daripada pasukan 'feeder club' Terengganu FC II bagi perlawanan berikutnya.

Mintah mempamer aksi mantap menerusi empat gol setakat ini, namun Nafuzi mahu menyuntik nafas baru susulan kegagalan skuad peteh meraih kemenangan dalam empat aksi terakhir. 

"Saya berasakan kami telah menekankan aksi yang konsisten dan mahukan sentuhan penyudah dapat dipertingkatkan lagi. Kami bakal menurunkan Da Silva kembali dalam kesebelasan utama. Jordan telah bermain dengan baik namun Da Silva adalah penyerang utama pasukan," kata Nafuzi.

"Kedah berada di tahap terbaik ketika ini, bukan satu tugas mudah untuk berdepan mereka namun memastikan tumpuan dapat dipamerkan sepanjang perlawanan."

About Author

Ammar Hakim

Comment