Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan dua slot automatik Piala AFC musim depan akan diberikan kepada naib juara Liga Super dan juga juara Piala FA pada musim ini.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL Ke-20 hari ini selepas penganjur Liga Malaysia (Liga-M) itu dimaklumkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung penambahan slot automatik ke peringkat kumpulan Piala AFC.

Keputusan yang diambil MFL ini sekali gus meleraikan persoalan setiap pasukan bertanding dalam Liga-M sebelum ini.

Bagaimanapun, bagi slot automatik Liga Juara-Juara Asia (ACL) kekal menjadi milik juara Liga Super.

Dalam perkembangan berbeza, ahli lembaga pengarah MFL turut memutuskan Datuk Abdul Ghani Hassan akan dilantik secara tetap sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) badan itu, berkuat kuasa 1 Mac depan.

Turut diumumkan dalam mesyuarat tersebut ialah pendapatan penajaan yang berjumlah RM1 juta buat pasukan Liga Super dan juga RM500,000 buat pasukan Liga Perdana.

Geran itu dijangka akan diagihkan pada minggu hadapan untuk mampu membantu pasukan bertanding dalam persiapan sepak mula Liga-M yang bermula 28 Februari ini.