Pemain import Sri Pahang, Lee Tuck, berharap dapat kembali beraksi sama ada sebagai pemain Sri Pahang atau pun selaku pemain pinjaman.

Pemain berusia 32 tahun itu diketepikan Tok Gajah selepas pasukan itu membawa masuk empat pemain import baharu pada jendela perpindahan pertengahan musim.

Selepas mengharungi detik tidak menentu bersama Sri Pahang, Lee Tuck kini mencari haluan baharu dan mahu segera kembali ke padang.

Tanpa berselindung, pemain kelahiran England itu bersedia untuk kembali ke Terengganu sebagai pemain pinjaman namun segalanya bergantung kepada perbincangan di antara kedua-dua pasukan.

"Ia keputusan yang perlu diambil kelab, saya bersedia untuk kembali beraksi bersama Terengganu FC, telah bersama tiga tahun di sana sebelum ini," kata Lee Tuck.

"Jika mereka berminat, saya sedia dipinjamkan semula ke sana dan beraksi bersama pasukan."

Sementara itu, Lee Tuck tetap memberikan komitmen penuh sebagai pemain Sri Pahang biarpun namanya tidak lagi berada dalam senarai pemain Liga Super Tok Gajah.

Lee Tuck tetap meneruskan latihan bersama Sri Pahang bagi memastikan tahap kecergasannya berada pada kedudukan terbaik dan sentiasa bersedia untuk turun beraksi.

"Sememangnya saya masih lagi pemain Sri Pahang. Tetapi nama saya tidak tersenarai bagi saingan Liga Super. Saya perlu kekal cergas dan memastikan sentiasa bersedia untuk beraksi. Buat masa ini, saya kekal menunggu dan kekal positif," katanya lagi.