Kuala Lumpur United tidak mahu terkecuali mendapatkan jurulatih asing pada musim depan apabila menaruh kepercayaan kepada pakar taktikal dari Chile, Simon Elissetche.

Liga Malaysia (Liga-M) musim 2021 menyaksikan lapan pasukan bakal menaruh kepercayaan kepada khidmat ketua jurulatih import.

KLUFC selaku pendatang baharu Liga Super 2021 ketika ini mempunyai perancangan tersendiri untuk berdepan dengan cabaran pasukan-pasukan hebat musim depan.

Sebelum ini, Nadi Arena pernah melaporkan pengesahan tentang perkara tersebut dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur United FC (KLUFC), Stanley Bernard, mengesahkan bahawa jurulatih tersebut telah tiba di Malaysia pada Selasa lalu dan kini menjalani proses kuarantin hingga Rabu depan.

Selain yakin dengan pengalaman dimiliki jurulatih itu, The City Boys juga tidak akan mempunyai masalah komunikasi berikutan Elissetche fasih berbahasa Indonesia.

"Beliau tidak mempunyai masalah daripada segi bahasa.

"Beliau bertutur baik dalam bahasa Indonesia kerana telah lama di sana.

"Komunikasi tidak akan jadi masalah kepadanya.

"Dia telah mendapatkan satu peluang yang besar dan pengurusan akan memberikan sokongan kepada beliau untuk berjaya," katanya.

Jurulatih berusia 43 tahun itu pernah mengendalikan beberapa kelab di Indonesia selain turut bertindak sebagai ketua jurulatih Timor Leste sekitar 2017-2018.

Jurulatih Kuala Lumpur yang membawa pasukan mara ke Liga Super, Nidzam Yusof, tidak dapat mengekalkan kedudukannya atas isu lesen kejurulatihan yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).