Teka-teki mengenai siapa yang akan mengemudi skuad Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super musim 2021 akhirnya terjawab apabila Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustafa, mengesahkan bahawa pasukan itu sudah mengikat kesepakatan dengan seorang jurulatih import.

Individu yang dimaksudkan itu adalah pengendali kelahiran Chile, Simon Elissetche.

Elissetche, 43, pernah mengendalikan beberapa kelab di Indonesia selain turut bertindak sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Timor Leste sekitar 2017-2018.

"Kami sudah sah mengambil jurulatih daripada Chile itu sejak semalam," kata Nokman kepada wartawan Nadi Arena, Muizz Aziz.

"Dia sebelum ini merupakan jurulatih Timor Leste dan pernah membimbing bererapa kelab Indonesia.

"Dia mempunyai pengalaman cuma kami memberikannya KPI (indeks prestasi utama) di mana jika dia dapat memberikan keputusan yang baik dalam tempoh enam bulan, kami akan memberikan tambahan yang menarik.

"Jika tidak, kami memintanya untuk menarik diri

"Ia bukan berdasarkan kemenangan. Jika gaya permainannya menarik dan kami kalah, ia tidak menjadi masalah kerana apa yang penting adalah prestasi pasukan dan cara dia membinanya.

"Mungkin kita tidak dapat lihat dalam dua atau tiga bulan tetapi mungkin caranya dapat membuatkan pasukan ini lebih baik.

"Sekurang-kurangnya pasukan kami perlu mempunyai semangat juang," katanya.

Nokman juga menafikan bahawa mereka telah menandatangai beberapa pemain seperti Irfan Zakaria dan Hadin Azman tetapi menegaskan bahawa keutamaan mereka adalah untuk pemain yang dilahirkan di wilayah itu.

"Mereka masih belum ditandatangani. Kami baru di peringkat perbincangan.

"Jika mereka adalah pemain dari Kuala Lumpur, kami pasti akan memanggil mereka semula dan berbincang.

"Kami rasa mereka mampu memberikan impak kepada Kuala Lumpur kerana mereka dari Kuala Lumpur," tambahnya.