Jangan terpedaya dengan kebijaksanaan jentera serangan Selangor FC, kata ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA), Aidil Sharin Sahak, menjelang pertemuan dengan skuad Gergasi Merah itu dalam perlawanan Liga Super di Stadium Petaling Jaya malam esok.

Pengendali kelahiran Singapura itu turut menyenaraikan tiga nama, iaitu Oliver Buff, Ifedayo Olusegun dan Nor Hakim Hassan, sebagai pemain yang mampu memorak-perandakan kubu pasukannya dalam perlawanan itu.

KDA akan turun dengan motivasi terbaik selepas menewaskan Sri Pahang FC 3-1 Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Selangor juga sedang bersemangat tinggi selepas menewaskan UiTM FC 2-0 minggu lalu.

Jelas Aidil Sharin, selepas enam perlawanan musim ini, kekuatan setiap pasukan kelihatan seimbang dan KDA, yang sedang berada di tangga kedua liga, tidak boleh menganggap Selangor sebagai lawan mudah.

"Selangor masih Selangor, mereka masih salah satu pasukan terbaik dalam liga," katanya kepada Nadi Arena.

"Jadi, kami hanya perlu bersiap sedia dan fokus terhadap diri kami sendiri daripada memikirkan mengenai kekuatan pasukan lain."

Tambah Aidil Sharin, kelibat Oliver dan Ifedayo sememangnya akan menjadi tumpuan tetapi dia dapat mengenal pasti seorang lagi pemain yang mampu menjadi ancaman buat pasukan Lang Merah itu.

"Kami juga perlu memberi perhatian terhadap pemain yang boleh menyalurkan bola buat Ifedayo seperti Hakim yang baru pulih daripada kecederaan.

"Dalam perlawanan terakhir mereka, dia melakukannya dengan amat-amat baik untuk menyalurkan bola ke arah Ifedayo di depan gawang.

"Kami benar-benar perlu menghalang pemain seperti itu," tambahnya.