Ketua jurulatih Kuala Lumpur (KL) City, Bojan Hodak, menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa pasukannya bakal berhitung dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada waktu yang terbaik tatkala Harimau Selatan itu baru tewas buat kali pertama selepas 21 perlawanan sejak Julai 2019.

Dalam masa sama, Bojan resah apabila masih perlu berdepan kesukaran tanpa khidmat Dominique Da Sylva serta masalah prestasi tidak menentu kelab kendaliannya itu menjelang aksi ke-11 Liga Super, Jumaat ini.

"Saya hanya boleh menawarkan jawapan tepat selepas dia (Dominique) menjalani ujian imbasan esok.

"Kecederaannya agak janggal iaitu di ligamen kakinya.

"Dia sepatutnya cergas selepas berehat 10 hari tapi dia masih mengadu kesakitan jadi dia akan merujuknya kepada pakar.

"Saya tidak harap dia akan diturunkan bertemu JDT memandangkan dia hanya mampu menjalani latihan ringan ketika ini.

"Tiada peluangnya untuk beraksi," katanya dalam perkongsian lanjut bersama wartawan Astro Arena, Haliza Hamzah, hari ini.

? Aksi perlawanan LS10 diantara Kedah Darul Aman FC menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar semalam. #KLCityFC #PrideofKL #morethanaclub

Posted by Kuala Lumpur City on Saturday, April 24, 2021


KL City tumpas 2-3 ketika bertandang ke Kedah Darulaman Jumaat lalu, tetapi sebagai persiapan menanti menyambut kunjungan Harimau Selatan di Cheras, Bojan turut menjelaskan tiada sebarang perancangan istimewa yang akan diterapkannya di sebalik mengintai untuk menambah luka juara bertahan tujuh kali berturut-turut itu.

"Selepas sekian lama, JDT akhirnya tewas. Pastinya mereka akan di bawah tekanan apatah lagi tanpa beberapa pemain yang tercedera.

"Mereka dipihak yang lebih tertekan daripada kami kerana ada jangkaan tinggi terhadap mereka.

"Mereka adalah sebuah pasukan mantap jadi tidak hairanlah lawan akan bergelut.

"Kalau kami memperagakan aksi seperti dua perlawanan lalu maka kami akan berpeluang. Kami cuma perlu berdisiplin, sabar sepanjang 90 minit.

"Kami perlu menyambar segala peluang yang ada kerana pasukan hebat jarang memberikan ruang.

"Terengganu telah membuktikannya dan ketika kami bertemu mereka dan Perak, kami mengharungi aksi yang hebat."