Ketua jurulatih UiTM FC, Frank Bernhardt, yakin corak latihan serta taktikalnya masih yang terbaik dalam memastikan The Lion Troops mampu memberikan saingan dalam Liga Super.

Jurulatih kelahiran Jerman itu kembali mengendalikan sesi latihan UiTM semalam selepas direhatkan dalam tiga perlawanan sebelum ini.

Bernhardt, yang diberikan peluang kedua untuk kembali membimbing kelab itu buat musim kedua, percaya ramuannya masih relevan dan sentuhannya mampu membawa mereka keluar dari zon penyingkiran.

Dia direhatkan selepas UiTM hanya mengutip satu mata daripada tujuh perlawanan selain corak latihan serta taktikalnya dikatakan sebagai menjadi punca kemerosotan prestasi pemain.

Begitupun, selepas tiga perlawanan di bawah kendalian Reduan Abdullah, nasib UiTM dilihat tidak banyak berubah.

"Kami sempat berbincang mengenai kesukaran yang dihadapi sebelum memulakan sesi latihan hari ini (malam tadi).

"Ada beberapa perkara yang kami mampu melakukannya dengan lebih baik lagi.

"Kami sempat mencuba pendekatan berbeza dan inilah yang mereka sepatutnya lakukan.

"Memandangkan prestasi sebelum ini kurang memberangsangkan, lalu pengurusan mahu mencuba sistem baru tetapi ia masih tidak membantu.

"Sekarang kami perlu mengambil langkah yang lebih bijak, " katanya dalam laporan wakil Astro Arena, Izwan Mohd Nor.

? KEDUDUKAN LIGA SUPER - LS10 #LigaSuper2021

Posted by Malaysian Football League on Sunday, April 25, 2021


Selain itu, Bernhardt turut akan mengambil pendekatan berbeza ke atas anak buahnya yang dikatakan kurang selesa dengan corak latihannya sebelum ini.

"Ini sesuatu yang normal di mana-mana sekalipun apabila ada pemain yang gembira dan tidak.

"Ini satu situasi yang diputuskan pihak pengurusan dan saya akan galas tanggungjawab ini.

"Saya positif kami mampu selamatkan kedudukan, apatah lagi menjelang perpindahan pemain."