FAM tolak rayuan tiga jurulatih tanpa lesen Pro AFC

By Muzaffar Musa 26 November 2020 1418
FAM tolak rayuan tiga jurulatih tanpa lesen Pro AFC
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menolak rayuan tiga pasukan untuk menggunakan jurulatih tanpa lesen kejurulatihan Pro AFC dalam Liga Super musim depan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, mengesahkan bahawa pihak Jawatankuasa Pelesenan Kelab FAM (FIP), menolak rayuan yang dikemukakan pasukan Sabah (Jelius Ating), Kuala Lumpur (Nidzam Adzha Yusoff) dan Pulau Pinang (Manzoor Azwira).

"Apa yang saya boleh laporkan di sini adalah Jawatankuasa Pelesenan Kelab atau FIP telah mengambil keputusan untuk menolak kesemua rayuan (untuk menggunakan) jurulatih, penolong jurulatih dan jurulatih kecergasan, seperti yang terkandung dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM," kata Stuart kepada Nadi Arena.

"Keputusan jawatankuasa adalah menolak permohonan tiga kelab tersebut.

"Bukan sekadar itu, polisi dan prinsipnya sudah ada dan di sini, kami tidak boleh berpatah balik daripada peraturan sedia ada.

"Dan dengan isu yang berbangkit daripada COVID-19, kami tidak boleh menggunakan elemen tersebut kerana jika menggunakan alasan tersebut, kami perlu memberikan lebih penjelasan kepada pihak-pihak lain," katanya.
 

About Author

Muzaffar Musa

Comment