Sabah terus cemerlang di Stadium Likas selepas merakamkan kemenangan kedua berturut-turut apabila kali ini mengatasi Melaka United 3-1 dalam aksi Liga Super, sebentar tadi.

Sabah yang turun sekali lagi beraksi di laman sendiri segar dengan kemenangan 2-1 ke atas Perak sebelum ini, bermula dengan cemerlang apabila membuka jaringan seawal minit keenam.

Penyerang veteran, Amri Yahyah, merupakan pemain terpantas bertindak meluru ke arah hantaran Saddil Ramdani menerusi sepakan percuma menanduk masuk mengatasi penjaga gol lawan, Norazlan Razali.

Berjaya memulakan permainan dengan langkah kanan, Sabah menambah perit skuad kendalian Zainal Abidin Hassan apabila menggandakan jaringan pada minit ke-17, Amir bijak melakukan hantaran mencari Azzizan Nordin yang berjaya menggelecek melepasi pertahanan sebelum melepaskan rembatan menembusi gawang.

Selepas perlawanan bersambung, Melaka seakan gagal menemui jalan melancarkan serangan dan ia digunakan sebaik mungkin Sabah bagi meledak jaringan ketiga, menerusi Amri pada minit ke-47.

Masalah komunikasi benteng pertahanan Sabah menyaksikan mereka gagal menamatkan perlawanan tanpa dibolosi apabila Fakrullah Rosli berjaya menggunakan peluang menyumbat masuk gol saguhati pelawat pada minit ke-67.

Tiada jaringan tambahan terhasil sekaligus menyaksikan Sabah merekodkan dua kemenangan berturut-turut dan kini menghuni tangga ketujuh dengan mengumpul 16 mata.

Keputusan lain:

SRI PAHANG 2 SELANGOR 2

PJ CITY 0 PERAK 1