Ketua jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail, bersyukur dengan satu mata yang diperoleh skuad The Red Warriors (TRW) ketika seri 1-1 dengan Felda United FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam tadi.

Keupayaan beraksi dengan penuh bersemangat dan mampu mengikat skuad yang memiliki pemain terbaik cukup membanggakannya di samping yakin Kelantan mampu kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

“Alhamdulillah, selepas lima perlawanan terakhir, kami berjaya mendapatkan satu mata yang cukup berharga dan tahniah kepada semua pemain yang menunjukkan semangat berjuang yang tinggi.

“Mungkin, ini merupakan detik kebangkitan kepada TRW bagi membaiki apa yang kurang dan kembali bersedia untuk menghadapi tiga perlawanan terakhir saingan Liga Super selepas ini,” katanya.

Zahasmi juga gembira apabila benteng pertahanan TRW menunaikan janji untuk kekal fokus sepanjang perlawanan dan tidak melepaskan gol awal yang boleh membunuh semangat pasukan.

“Bagi saya, malam ini pemain TRW cukup fokus dan berjaya mengekang barisan penyerang Felda untuk menjaringkan gol awal.

"Biarpun dibolosi juga tetapi menerusi satu serangan balas, kami mampu menjaringkan gol penyamaan,” katanya.

Dalam saingan sengit malam tadi, TRW yang dihimpit masalah kecederaan pemain, turun penuh semangat untuk memburu kemenangan ke atas skuad kendalian B. Sathianathan untuk keluar daripada zon penyingkiran.

Malangnya, pada minit keempat, Felda United hampir di depan hasil kesilapan penjaga gawang, Mohd Ramadhan Abd Hamid, gagal menangkap kemas bola hantaran Wan Zack Haikal Wan Nor, namun rembatan kencang penyerang import, Thiago Augusto Fernandes, tersasar.

Felda United akhirnya mendapat jaringan pertama apabila rembatan penyerang import, Ifedayo Olusegun, berjaya menewaskan Mohd Ramadhan pada minit ke-24 untuk memberi tekanan kepada tuan rumah.

Selang seminit, penyerang TRW, Alessandro Celin berjaya menjaringkan gol penyamaan melalui rembatan leret yang menewaskan penjaga gol, Mohd Farizal Harun.

Felda United hampir menambah jaringan kedua, namun tandukan kencang penyerang import dari Brazil, Thiago, dibatalkan pengadil akibat ofsaid.

Dalam aksi babak kedua, TRW dan Felda United saling melancarkan serangan untuk mencari gol kemenangan, malangnya dihampakan oleh ketumpulan jentera serangan.

Kedudukan seri ini tidak banyak membantu TRW untuk keluar daripada zon penyingkiran, sebaliknya perlu berusaha lebih gigih lagi dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super musim ini.