Pemimpin perlu ambil tahu tentang bola. Demikian syarat yang diletakkan Presiden Jurulatih Profesional Malaysia (PJBM) merangkap Pengarah Teknikal Sarawak United, B Sathianathan, jika impian untuk melihat sesebuah pasukan benar-benar bebas daripada belenggu kewangan.

Kebergantungan sesetengah pasukan melibatkan kepimpinan orang politik sebenarnya mampu menjadi penawar dan dalam masa yang sama, racun buat sesebuah pasukan.

Bukan menolak kebaikan yang mampu ditawarkan mereka tetapi jika terlalu bergantung, isu kewangan akan terus menjadi masalah sepanjang musim.

Lebih-lebih lagi, jika pihak terlibat tidak memiliki minat terhadap bola sepak dan hanya menerima saranan dari individu yang berkepentingan semata mata.

"Kalau pemimpin itu daripada FA (persatuan) menjadi pemimpin yang sama kepada kelab (FC) yang kebiasaannya terdiri daripada orang politik, apabila kedudukan politik mereka tidak lagi stabil atau sudah tiada kuasa lagi, memang mereka akan jadi susah kerana terlampau bergantung kepada politik," katanya ketika ditemu bual maya bersama Astro Arena, Fina Nasrom, hari ini.

Tambah Sathianathan, seharusnya peralihan daripada persatuan (FA) kepada kelab (FC) mampu menafikan masalah kewangan.

Bagaimanapun, beberapa pasukan seperti Kedah Darul Aman, Perak FC dan Melaka United masih berhadapan dengan situasi lapuk.

"Selalunya konteks di Malaysia ini, orang politik yang tidak tahu pasal bola pun boleh menjadi presiden. Mereka bukannya tahu sangat tentang bola tetapi menjadi sumber kewangan.

"Di sini mana ada orang politik yang betul-betul tahu pasal bola."

Difahamkan Sarawak sudah melunaskan hutang bekas jurulatih mereka, Ian Gillan.

Juara Liga Perdana 2013 itu kini tidak lagi perlu risau tentang hukuman denda atau pemotongan mata selain sekatan untuk mengambil pemain baru.

Sebelum ini, Gillan membuat aduan kepada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) bagi menuntut haknya sebanyak RM50,000.

Difahamkan juga, Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) mempunyai alasan tersendiri mengapa mereka menyekat gaji Gillan yang sudah terbabit dalam industri bola sepak Malaysia sejak tujuh tahun lalu.