Aspirasi Selangor untuk mengembalikan kegemilangan mereka di Stadium Shah Alam musim ini di ambang kemusnahan apabila venue itu gagal memperoleh kelulusan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Kegusaran utama badan pengelola Liga Malaysia itu menjurus kepada faktor keselamatan membabitkan bumbung yang sudah usang di stadium berkenaan.

Ia selepas tiga pemeriksaan yang dilakukan MFL, masing-masing pada 10 Januari, 21 dan 28 Februari lalu.

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), bagaimanapun, hanya memiliki tempoh sehingga esok untuk meyakinkan MFL bahawa mereka boleh menangani isu itu.

Jika gagal, FAS perlu mencari gelanggang alternatif untuk menggantikan Stadium Shah Alam.

"Kami perlu bersedia dengan apa jua situasi untuk bermain di mana sahaja," kata pengurus Selangor, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid.

"Yang kedua, Kami sudah pasti mahu meneruskan momentum kemenangan dan beraksi di tempat sendiri pasti akan memberikan kelebihan.

"Namun, dengan perkembangan terbaru ini, kami perlu meneruskan latihan dan persiapan tanpa mengira di mana kami akan bermain.

"Saya rasa pihak pengurusan FAS akan mencari venue yang sesuai untuk kami," katanya.

Turut gagal mencapai piawaian yang ditetapkan ialah Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang menjadi gelanggang Petaling Jaya City FC.