Penyerang import Kedah, Kpah Sean Sherman, menafikan mahu menamatkan kontraknya dengan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bagi membawa isu tunggakan gaji pasukan itu ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Isu tunggakan gaji skuad Kedah semakin panas apabila dikhabarkan dua hingga tiga pemain utama skuad Lang Merah itu mahu meninggalkan pasukan berkenaan.

Mereka yang terlibat tampak sudah hilang sabar susulan tidak menerima gaji penuh sejak Februari lalu, sekali gus mahu mengheret KFA ke peringkat lebih tinggi.

Ketika isu itu dipercayai membabitkan pemain import, Sherman, bagaimanapun, mengakui bahawa dia masih belum terlintas untuk berbuat demikian.

"Segala-galanya habis sepanjang tiga bulan ini, projek dan wang simpanan, tiga bulan ini amat sukar," katanya kepada Nadi Arena.

"Tetapi tidak mungkin saya melakukannya pada masa ini.

"Jika anda menamatkan kontrak pada ketika ini, di mana anda mahu bermain? musim sudah hampir tamat.

"Apa yang kami boleh lakukan ketika ini adalah berdoa agar seseorang di Kedah akan menyelesaikan perkara ini.

"Mereka perlu menyelesaikan perkara ini bagi pihak kami.

"Jika mereka memerlukan tiga minggu untuk melakukannya, mereka kini perlu menyelesaikannya dalam tempoh seminggu.

"Jika saya melaporkannya kepada FIFA, saya tidak fikir kami akan gembira dengan tindakan itu.

"Kami hanya perlu menunggu sedikit masa lagi untuk melihat apa yang akan berlaku," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, mengesahkan tiada pemainnya akan 'mengangkat kaki' meninggalkan pasukan itu.

Dia menjelaskan mereka kini menjalani latihan di rumah seperti biasa tetapi mengakui anak buahnya kecewa dengan masalah gaji yang menimpa mereka.

"Buat masa ini, tiada pemain yang ingin meninggalkan pasukan.

"Kami berlatih menggunakan aplikasi Zoom dan semuanya dalam keadaan baik.

"Cuma, kami agak kecewa dengan pembayaran gaji.

"Yang lain tiada masalah," katanya.