Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksana bagi mengekang penularan COVID-19 bukan alasan untuk tidak melakukan latihan fizikal lebih-lebih jika bergelar ahli sukan.

Justeru, bagi memastikan dirinya kekal cergas, kapten Perak, Shahrul Saad, 23, memperuntukkan sekurang-kurangnya satu jam setiap hari bagi melakukan latihan fizikal di rumahnya di Ipoh.

Pemain pertahanan skuad Harimau Malaya itu juga berkata walaupun latihan dibuat bersendirian, ia perlu dilakukan secara konsisten bagi memastikan aspek stamina berada pada tahap terbaik.

"Dalam tempoh PKP ini, saya tetapkan satu jam untuk latihan fizikal, tidak kira sama ada pada sebelah pagi atau petang setiap hari. Kadang-kadang saya buat dua sesi, di sebelah pagi dan petang.

"Latihan fizikal yang saya buat ini juga menggunakan kemudahan alatan kecergasan yang memang ada di rumah. Bagi saya ia membantu dalam mengekalkan tahap kecergasan diri dalam tempoh (PKP) ini," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Shahrul berkata latihan fizikal yang dilakukan akan dimaklumkan kepada jurulatih kecergasan pasukan, Sam Pakiaraj bagi memastikan ia dilakukan dengan betul dan mengikut jadual yang disusun.

Sementara itu, dia mengakui latihan secara bersendirian kurang menyeronokkan berbanding bersama rakan sepasukan.

"Kebiasaannya, kami berlatih bersama-sama tapi kali ini kena buat sendiri. Kadang-kadang ada rasa tak seronok sebab tak dapat jumpa rakan sepasukan yang lain. Apa pun kita kena utamakan keselamatan diri dan harap PKP ini akan berakhir," katanya.

Sementara itu, J. Partiban juga memperuntukkan satu jam sehari melakukan latihan fizikal selain turut berpandukan kepada jadual khas yang disusun oleh jurulatih kecergasan.

Dia berkata jadual berkenaan perlu diikuti memandangkan sebelum ini mengalami kecederaan paha semasa aksi Liga Super menentang Selangor di Stadium Shah Alam, 7 Mac lalu.

"Latihan saya lebih kepada pergerakan kaki, 'ball work' dan beberapa latihan ringan lain. Setakat ini kecederaan saya makin pulih dan pada masa yang sama masih mengikuti jadual yang ditetapkan," katanya.

PKP fasa pertama dilaksanakan berkuat kuasa 18 hingga 31 Mac, sebelum dilanjutkan sehingga 14 April sebagai langkah kerajaan memutuskan rantaian penularan COVID-19.

-- BERNAMA