Tiada Brendan Gan, tiada Khairul Azhan Khalid, itu perkembangan terkini daripada kem Selangor yang terpaksa berhadapan Johor Darul Ta'zim tanpa kelibat dua watak penting ketika The Red Giants berhasrat melakar kejutan dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim Sabtu ini.

Terencatnya perancangan itu sudah pasti, Brendan digantung perlawanan ekoran mengutip kad merah ketika bertemu Melaka manakala Khairul Azhan bakal melangsungkan perkahwinan pada tarikh perlawanan Sabtu ini.

"Mereka merupakan pemain yang penting kepada pasukan namun pasukan tidaklah bergantung kepada dua pemain sahaja, kami akan memilih pemain yang bakal mengisi kekosongan mereka dan berharap untuk membuktikan kemampuan terbaik," kata pengendali Selangor, B. Sathianathan.

Bagaimanapun, Sathiananthan tidak melihat Selangor hanya perlu bergantung kepada dua pemain ini semata-mata malah berhasrat mencipta kejutan kekal menjadi modus operandi dalam usaha untuk melengahkan kejuaraan kali ketujuh JDT dalam saingan Liga Super.

"Ramai yang sudah menjangkakan kekalahan Selangor di tangan JDT. Kami sudah menjangkakan kemenangan Liga Super buat kali ketujuh buat JDT, selepas perlawanan berdepan kami, mereka hanya memerlukan dua kemenangan untuk bergelar juara."