Selangor hanya menyasarkan kedudukan dua teratas dalam Liga Super musim ini, kata ketua jurulatih, B. Sathianathan

Pengendali itu menegaskan sasaran utama yang perlu dicapai ketika ini adalah kelayakan untuk beraksi dalam Kejohanan AFC, sama ada ke Piala Juara-Juara Asia (ACL) selaku juara liga, atau ke Piala AFC selaku naib juara.

Tambahnya, julangan piala bagi musim ini menjadi kepentingan kedua memandangkan Selangor selayaknya beraksi di peringkat Asia dengan usaha yang telah dilakukan.

"Kalau saya kata (sasaran) tiga pasukan teratas, ia bukan standard pasukan Selangor.

"Kami cuma ada satu pilihan, iaitu layak ke (Kejohanan) AFC.

"Tiada pilihan lain untuk saya dan pemain saya," katanya.

Selangor juga antara pasukan yang paling bersemangat mengadakan latihan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Terdapat ura-ura bahawa setiap pasukan akan dibenarkan untuk kembali mengadakan latiham secara normal bermula pertengahan bulan ini dan Sathianthan berasakan kelonggaran itu dapat memenuhi keperluan pasukannya mejelang penyambungan liga, selewat-lewatnya September depan.

"Kami amat mengalu-alukan keputusan pada 16 Julai ini.

"Sudah lama pemain mahu kembali ke latihan secara realiti, iaitu ada sentuhan dalam bola sepak.

"Jadi, saya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang membenarkan keputusan itu," tambahnya.