Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) kelihatan akur dengan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) apabila menangguhkan perancangan mereka untuk kembali mengadakan sesi latihan pada 9 Jun in.

Ia susulan hasrat mereka itu tampak menimbulkan kekeliruan walaupun perancangan berkenaan berlandaskan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Menerusi satu perbualan video bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Pengurus Selangor, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, berkata: "Seperti yang kita sedia maklum melalui taklimat MKN sebelum ini, pihak pengurusan FAS telah memutuskan untuk menangguhkan perancangan latihan yang sepatutnya bermula bulan ini sehingga ia mendapat kelulusan daripada pihak MKN.

"Dan kami rasa kami perlu mengikut (ketetapan itu) kerana ia adalah demi kebaikan semua pihak.

"Pada saya, perancangan kami ada sedikit terjejas tetapi setiap pemain masih dipantau oleh jurulatih fizikal kami setiap hari.

"Cuma jika dapat melakukan latihan secara berkumpulan, ia lebih komprehensif berbanding latihan di rumah masing-masing," katanya.