Bukan sahaja kecewa tewas 0-1 di tangan Perak dalam aksi di Stadium Shah Alam semalam, jurulatih Felda United, B. Sathianathan, turut melahirkan rasa terkilan dengan sistem rekod masa kecederaan yang diharapkan mampu dipertingkatkan pada masa akan datang.

Sathia tidak mempertikaikan mutu pengadilan, sebaliknya kecewa terlalu banyak masa dibazirkan pihak lawan tetapi tambahan masa kecederaan pada babak kedua hanya diberikan selama empat minit.

Jelas jurulatih berusia 59 tahun itu, situasi tersebut mengganggu usaha anak buahnya untuk mencari gol penyamaan selepas Yashir Pinto menjaringkan gol buat tuan rumah pada minit ke-12.

"Saya memang hairan kerana ada satu situasi yang melibatkan masa sehingga tiga minit tetapi tambahan masa tidak sejajar dengan masa yang terbuang," kata Sathianathan.

"Saya harap FIFA akan menukar undang-undang, mungkin berhentikan masa seperti hoki dan ia sesuatu yang bagus," tambahnya.

Pada masa sama, pengendali Perak, Mehmet Durakovic, memuji pemain-pemainnya yang berjaya mengekang asakan pelawat dan berharap agar momentum itu dikekalkan menjelang aksi getir bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT), Rabu ini.

"Pemain-pemain menjalankan tugas dengan baik dan saya sangat gembira dengan keputusan yang diraih.

"Kami akan kembali ke Ipoh untuk proses pemulihan dan mempersiapkan diri untuk menghadapi JDT selepas ini," ujar Durakovic.