Ketua jurulatih Felda United, B. Sathianathan, jelas kecewa dengan persembahan pasukannya selepas terikat 0-0 dengan T-Team dalam aksi Liga Super di Kuala Terengganu, malam tadi.

“Pasukan lawan beraksi lebih baik, malah apa yang dirancang gagal diterjemahkan dan kami bernasib baik memperoleh satu mata.

“Pemain-pemain gagal menembusi barisan pertahanan mereka yang dibarisi pemain tempatan dan saya kagum dengan permainan T-Team.

“Mereka mempunyai banyak peluang, mujurlah penjaga gol kami bermain dengan baik.

“Kami sering kehilangan bola di bahagian tengah lalu terperangkap, saya kurang berpuas hati dengan persembahan ini,” kata bekas pengendali negara itu.

Dalam perlawanan itu, kedua-dua pasukan bermain dengan berhati-hati sehinggalah minit ke-37 menyaksikan jaringan pemain import T-Team, Mamadou Samassa, yang bagaimanapun dibatalkan kerana offsaid.

Kemasukan Mohd Hadin Azman dalam babak kedua hampir memberi gol pendahuluan kepada The Fighters selepas hantarannya berjaya mencari Shukor Adan, malangnya tandukan ketua pasukannya itu tersasar.

Peluang terbaik T-Team hadir pada minit ke-61 menerusi percubaan pemain gantian, Mohammad Ramzi Suffian, yang menyaksikan rembatannya ditepis Mohd Farizal Harun.

Tujuh minit selepas itu, Norshahrul Idlan Talaha pula membuat percubaan selepas menerima hantaran pendek Mohd Hadin tetapi tinggi melepasi pintu gol T-Team.

Felda menamatkan perlawanan dengan 10 pemain apabila pertahanannya, Mootaz El Jounadi, dilayangkan kad merah pada minit ke-82 kerana menjatuhkan Farhod Tadjiyev.

“Prestasi pemain import juga belum memuaskan, mereka perlu menunjukkan prestasi lebih baik dari pemain lain, kalau tidak lebih baik saya menurunkan pemain tempatan.

“Saya tidak tahu situasi sebelum saya mengambil alih tetapi sebagai pasukan yang beraksi dalam Piala AFC, Felda seharusnya memiliki awang import yang lebih berkualiti.

“Mereka perlu membuktikan dalam tiga perlawanan akan datang sekiranya mereka mahu bermain untuk pasukan ini.

“Jika prestasi mereka masih sama, kami perlu mencari jalan lain,” tegas Sathianathan lagi.