Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid, mula mencuri perhatian daripada peminat bola sepak di Portugal.

Malah, pemain kelahiran Terangganu itu sudah didaftarkan secara rasmi dalam senarai pemain Portimonense dan bakal melakukan penampilan pertamanya tidak lama lagi.

Perpindahan Safawi ke divisyen utama negara itu mula mendapat perhatian penyokong di Eropah, khususnya selepas melihat gambar Safawi melakukan ujian saringan COVID-19 sambil menyarung jersi latihan pasukan tersebut.

Lewat petang semalam, laporan media di tempatan mengesahkan pemain yang merekodkan 46 gol bersama JDT itu sudah didaftarkan secara rasmi ke dalam skuad Portimonense.

❤️⬆️⚽✅??✔️?⚽⚽⚽⚽ Uma paixão que nos une. Portimonense hoje, Portimonense Sempre! ✔️⚽⚽⚽⚽⚽⚽⚽⚽ ...

Posted by Portimonense Futebol SAD on Wednesday, October 7, 2020


Astro Arena menghubungi , editor Proxima Jornada, Aaron Barton, bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang reaksi penyokong di sana.

"Tidak ramai peminat tempatan yang begitu mengenalinya di Portugal termasuk (situasi) pemain yang keluar beraksi di luar Malaysia.

"Tetapi malam tadi saya mendapati ada sebilangan peminat di sini yang cuba mencari maklumat mengenainya di Twitter selain mengikuti (permainannya) di Youtube memandangkan Portimonense menandatangani seorang pemain yang tidak begitu dikenali," katanya kepada wakil Nadi Arena, Keeshaanan Sundaresan.

Aaron juga mendedahkan Safawi mungkin mengisi kekosongan yang ditinggalkan Bruno Tabata -- pemain sayap kanan yang berpindah ke Sporting Lisbon.

"Dia memerlukan perlawanan kompetitif, mungkin perlu (buktikan keupayaan) bersama pasukan remaja (terlebih dahulu) di samping seorang lagi pemain Brazil yang juga baru ditandatangi.

"Posisi itu boleh direbut. Jika dia dapat mampu menyesuaikan diri, andai dia mampu mempamerkan permainan terbaiknya maka tiada alasan mengapa tidak boleh mengisi posisi sayap kanan Portimonense," katanya lagi.

Peluang terawal Safawi untuk melakukan penampilan sulung adalah pada 18 Oktober ini, dalam kunjungan ke Madeira menentang pasukan yang baru-baru ini mengejutkan Porto, Maritimo.