Bintang muda sensasi Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid, bertekad memburu kejayaan lebih hebat dalam kariernya selepas memahat sejarah selaku pemain tempatan pertama yang dinobat sebagai penjaring gol lencongan terbaik dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019.

Berdasarkan undian peminat di laman sesawang rasmi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang ditutup petang semalam, ledakan menarik pemain kelahiran Terengganu itu ketika menentang kelab China, Shandong Luneng, di Pusat Sukan Olimpik Jinan, China tahun lalu berhasil mengetepikan empat calon lain.



"Terima kasih kepada semua peminat di Malaysia terutama di Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Saya telah membuktikan bahawa pemain Malaysia bukannya tidak dikenali di luar negara.

"Jadi kami perlu tingkatkan keupayaan daripada segi permainan dan kecergasan.

"Kami bukan setakat mahu bermain di tahap yang sama sahaja," katanya dalam rakaman temu bual bersama wakil Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, hari ini.

Safawi -- dengan gaya kegemarannya -- melarikan bola dari sebelah sayap kanan sebelum melencongkan bola dengan kaki kidalnya dari luar kotak penalti sekali gus melepasi jangkauan penjaga gol lawan.

"Ia agak sukar untuk dilakukan sebab ketika itu saya diasak pihak lawan.

"Jadi mungkin hari itu rezeki saya sebab banyak kali juga saya berlatih melakukannya terutama di Johor.

"Jadi saya dapat lakukannya dalam perlawanan (kompetitif)."