PJ City gagal memenuhi hasrat untuk memulakan latihan seawal 1 Jun 2020, semuanya gara-gara mahu menunggu maklum balas daripada penganjur liga, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terlebih dahulu.

Pengendali PJ City, K. Devan, memilih untuk merujuk pihak MFL berhubung usaha mereka yang mahu memulakan sesi latihan pada awal bulan hadapan.

Permohonan akan dibuat dalam tempoh terdekat selain turut melampirkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang akan diguna pakai untuk meneruskan hasrat itu.

"Kami perlu menghantar SOP kepada pihak MFL untuk memulakan latihan, mereka akan berhubung dengan pihak KKM dan MKN sebelum memberikan lampu hijau bagi membenarkan kami berlatih," kata Devan.

Pemain berpengalaman, Safee Sali, pula beranggapan perkembangan terkini dari PJ City mungkin membantutkan hasrat asal untuk memulakan latihan 1 Jun ini tetapi pendekatan baru ini dianggap lebih bijak demi keselamatan pemain PJ City sendiri.

"Dengan SOP yang diperlukan, proses sanitasi di tempat latihan perlu dilakukan, ia mungkin memakan masa sehingga pertengahan bulan hadapan. Saya berasakan ia adalah langkah terbaik dan pemain-pemain sudah bersedia untuk kembali berlatih," kata Safee.