PJ CITY 2 JDT 2

Petaling Jaya (PJ) City muncul pasukan pertama yang menyekat kemenangan Johor Darul Ta'zim (JDT) sejak saingan Liga Super kembali Jun lalu.


Skuad bimbingan Benjamin Mora itu, yang menghampiri kejuaraan buat kali ketujuh berturut-turut dengan baki tiga perlawanan lagi, memburu mata penuh bagi menguasai persada liga selepas menang bergaya dalam empat perlawanan terakhir.

Namun, hajat itu tersekat apabila skuad kendalian K Devan berkenaan sekali lagi mengetengahkan percaturan yang hampir menjerat lawan.

Pendahulu Liga Super itu memberi gambaran berbeza pada awal permainan dengan melancarkan beberapa asakan berkualiti di sebalik beraksi dalam hujan sejak sepak mula.

Ia memaksa PJ City lebih berhati-hati mengatur gerakan untuk meneruskan rekod baik terhadap jaguh dari Selatan tanah air itu.

Ironinya, kekebalan gawang tuan rumah akhirnya berkecai selepas mereka melancarkan serangan apabila gerakan itu yang dimulakan Farizal Marlias sebelum disudahkan Safawi Rasid pada minit ke-35.

? KEDUDUKAN CIMB LIGA SUPER - PUSINGAN LS9 #ForwardFootball #BangkitSemangatBola #CIMBLigaSuper2020

Posted by Malaysian Football League on Friday, September 25, 2020


Begitupun, tuan rumah segera bangkit dua minit kemudian menerusi hantaran lintang Mahali Jasuli lalu mencetuskan situasi kacir-kacir di depan pintu gol sebelum Christie Jayaseelan menolak bola ke gawang yang sudah ternganga.

Kedua-dua pasukan jelas berhasrat membawa pulang mata penuh yang menyaksikan keamatan permainan berlanjutan sehingga masa kecederaan separuh masa pertama.

Ia menyaksikan dua lagi gol diledakkan dalam masa singkat apabila Washington Brandao dijatuhkan Farizal untuk sepakan penalti itu yang tenang disempurnakan ketua pasukan, K Gurusamy. Tetapi ia juga tidak bertahan lama apabila Safawi memenangi sepakan penalti selepas diasak Filemon Standly dari belakang lalu Gonzalo Cabrera menjadikannya 2-2.

JDT terus memberi ancaman dan Kalamullah Al-Hafiz dua kali bertindak cemerlang pada awal babak kedua.

Penjaga gol berusia 25 tahun itu tangkas menafikan sepakan percuma daripada Safawi dan Diogo Luis Santo untuk kembali mendahului.

Pelawat kemudian menyerapkan pemain remaja sensasi, Muhammad Ramadhan Saifullah, untuk mengulangi keajaibannya selepas meledak empat gol dalam empat perlawanan terdahulu.

Tetapi, PJ City bekerja keras untuk mematahkan serangan lawan bagi memungut satu mata.

JDT, yang mengumpul 23 mata, masih berkesempatan ditabalkan kejuaraan lebih awal sekiranya Kedah gagal mengatasi Pahang di Stadium Darulmakmur, malam esok.

Keputusan lain:

Liga Super

PERAK 5 FELDA UNITED 1

TERENGGANU 4 PDRM 0

Liga Perdana

KUALA LUMPUR 5 SELANGOR II 4

NEGERI SEMBILAN 2 KUCHING FA 4

KELANTAN 1 SARAWAK UNITED 0

? KEDUDUKAN LIGA PREMIER - PUSINGAN LP9 #LigaPremier2020

Posted by Malaysian Football League on Friday, September 25, 2020