Piala Prihatin: Kuala Lumpur United juara edisi sulung 

By Shaiful Shamsudin 27 February 2021 14637
Piala Prihatin: Kuala Lumpur United juara edisi sulung 
KUALA LUMPUR UNITED 0 SELANGOR FC 0 
(KL menang menerusi penentuan penalti 4-2)


Kevin Mendoza membuktikan kredibilitinya sebagai penjaga gol utama apabila memastikan Kuala Lumpur United merangkul kejayaan dalam edisi sulung Piala Prihatin dengan mengatasi Selangor FC, sebentar tadi.

Tonggak kacukan Denmark-Filipina itu muncul wira skuad Warga Kota dalam pertembungan 'derby' pemanas badan Lembah Klang berkenaan menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur selepas masa sebenar perlawanan buntu tanpa jaringan. 

Dia cemerlang menepis sepakan pemain import gantian, Oliver Buff, disusuli kegagalan pemain tengah dari Jerman, Manuel Konrad, yang menyepak liar sebelum pemain veteran, Indra Putra Mahayuddin memuktamadkan kejuaraan buat The Hawks. 

Kejayaan pra-musim ini seharusnya menjadi motivasi terbaik buat pendatang baru Liga Super itu yang kini dikendalikan oleh Bojan Hodak. 

Hasrat Selangor untuk mempertaruhkan gandingan Shahrel Fikri Md Fauzi dan Ifedayo Olesegun di bahagian serangan tidak bertahan lama apabila bekas penyerang Perak itu terpaksa digantikan sebelum permainan berusia 10 minit akibat kecederaan paha. 

Kedua-dua pasukan bermula dengan berhati-hati tetapi dua peluang yang terhidang di depan pintu gol buat penggempur import, Dominique Da Sylva, menceritakan perjalanan separuh masa pertama yang berakhir tanpa percubaan tepat. 

Namun, aksi lebih rancak dipamerkan dalam separuh masa kedua tetapi keserasian dan sentuhan akhir jelas dirindui berikutan tempoh persiapan singkat yang ditempuhi pasukan Liga Malaysia (Liga-M). 

 

WE ARE THE KLANG VALLEY KINGS!!! Kuala Lumpur United beat Selangor 4-2 on penalties after 0-0 draw in The Derby !! #sampaimatikualalumpur

Posted by Kuala Lumpur United on Saturday, February 27, 2021


Bahagian tengah Kuala Lumpur yang ditunjangi Romel Morales dan Paulo Josue termasuk Hadin Azman mampu mengatur corak permainan tetapi pelawat yang mencuba beberapa kombinasi masih mampu menguasai 53 peratus perlawanan dengan masing-masing menghasilkan empat percubaan tepat. 

"Ini kali pertama kesebelasan utama beraksi sepanjang 90 minit.

"Kami masih perlu bentuk kesefahaman dan dalam babak kedua, kami mencipta banyak peluang. 

"Walaupun menang dengan sepakan penalti, ia masih dikira sebagai kemenangan. 

"Kami tidak bolos walaupun ada beberapa situasi yang kami tidak dapat baca dengan baik. 

"Selepas 10 hari mengadakan persiapan, ini sesuatu yang dijangkakan," kata Hodak pernah membawa Kelantan meraih tiga gelaran pada 2012. 

Rakan sejawatannya dari Jerman, Karsten Neitzel, meluahkan nada hampir serupa dalam usaha mereka memperkemaskan pasukan menjelang aksi pembukaan menentang Sri Pahang di Stadium MBPJ, 6 Mac depan. 

"Kami ada peluang tapi tidak berjaya meledak gol. 

"Ramai pemain yang sudah lama tidak beraksi selama 90 minit. Kedua-dua pasukan memulakan persediaan agak lewat," katanya. 


 

Tamat sepakan penalti. Kuala Lumpur United FC 4-2 Selangor FC Kita akan kembali dengan lebih kuat selepas ini! #RedGiants #TheDerby2021 #85Years #CreatingALegacy

Posted by Selangor FC on Saturday, February 27, 2021





 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment