PFAM perlu rasional -- Windsor

By Ammar Hakim 29 March 2020 34
PFAM perlu rasional -- Windsor
'Bukan masa pakai topi peguam', Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul, menempelak Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) yang enggan membuka pintu perbincangan bagi isu pemotongan gaji pemain Liga Malaysia.

Windsor menegaskan PFAM seharusnya bersikap rasional dengan masalah kewangan yang melanda kebanyakan pasukan akibat pandemik covid-19.

"Ini bukanlah masa untuk berpegang kepada kontrak. Dunia kini menghadapi situasi yang luar biasa dan keadaan ini setiap perjanjian harus diberikan pertimbangan, kita haruslah berusaha mencari jalan penyelesaian," katanya.

Terdahulu, PFAM kekal membantah cadangan pemotongan gaji pemain walaupun kebanyakan pasukan berdepan masalah kewangan akibat wabak covid-19.

Ia juga sebagai maklum balas mengenai kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang meminta pasukan mengadakan perbincangan terbuka bersama pemain mengenai semua perkara termasuk soal gaji.

PFAM bagaimanapun berpendirian bahawa kontrak perlu dihormati dan dipatuhi seperti dipersetujui terutama berhubung isu pembayaran gaji.

AFC akan mengadakan perbincangan dengan wakil pemain profesional, FIFpro minggu depan dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dalam menangani kemelut ini.

"AFC akan berbincang dengan pihak FIFpro mengenai isu yang perlu dihadapi ketika ini. Tiada siapa yang bergelar dalam hal ini dan semua pihak harus bekerjasama," tambah Windsor.
 

About Author

Ammar Hakim

Comment