Walaupun terpaksa beraksi tanpa sorakan penyokong mereka, Sabah tetap dengan misi mesti menang mereka apabila melayan kunjungan Perak di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam esok.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, berkata, selepas kecundang kepada Pahang di Kuantan, tempoh hari, skuad Tambadau tiada pilihan lain selain mencatat kemenangan bagi memastikan mereka terus menjadi pencabar utama Liga Super.

"Kita mungkin kehilangan 'pemain ke-12' malam esok, namun, saya tetap yakin semangat para pemain akan tetap membara apabila bertemu Perak malam esok, lebih-lebih lagi pasukan berkenaan sering mengecewakan kita sejak beberapa musim lalu.

"Bagaimanapun, kita perlu berhati-hati dengan mereka (Perak) kerana semua sedia maklum Perak antara pasukan terbaik dalam Liga Super, saya mahu pemain fokus dan bermain seperti yang dirancang oleh jurulatih," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Terdahulu, hari ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumum semua perlawanan Liga Malaysia yang berlangsung hari ini, esok dan Ahad akan dijalankan tanpa penonton.

Keputusan berkenaan dibuat sebagai langkah bagi menangani penularan COVID-19 di negara ini.

Sementara itu, Peter berkata kesemua pemain kini sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi perlawanan esok.

"Semua pemain bebas dari kecederaan dan siap sedia untuk diturunkan esok, saya harap sesiapan yang diturunkan sebagai kesebelasan utama akan bermain habis-habisan.

"Saya juga yakin ketua jurulatih iaitu Kurniawan (Dwi Yulianto) memiliki perancangan tersendiri bagi mengekang Perak sekali gus mengatasi pasukan itu.

"Walaupun kita beraksi tanpa penyokong, saya juga harap mereka (penyokong) mendoakan kejayaan pasukan esok," katanya lagi.

Selepas tiga perlawanan Liga Super, Sabah kini berada di kedudukan kelima dengan empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan sekali tewas.